Wednesday, November 12, 2008

NEGERI SEMBILAN BAKAL MILIKI LAPANGAN TERBANG

Oleh: Hussain Said


Pembangunan bersepadu seluas 2,800 hektar tak lama lagi


MOHAMAD bersama penerima surat hak milik pada Majlis Penyerahan Suratan Hak milik bagi PAKR Panchor 1, Panchor 2 dan Sikamat 2A di Dataran Balai Raya, Rumah Rakyat Panchor.

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal memiliki sebuah lapangan terbang apabila projek koridor pembangunan bersepadu membabitkan kawasan seluas 2,800 hektar berdekatan Kampung Gadong Jaya, Labu, dekat sini, dibangunkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pada dasarnya projek pembinaan lapangan terbang itu yang akan dibangunkan syarikat Sime Darby sudah dipersetujui dan kertas mengenainya akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet.

Katanya, pembinaan lapangan terbang itu nanti bukan saja menyokong dan mewujudkan rangkaian dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan kawasan setempat.

"Selain pembinaan lapangan terbang, kawasan itu akan dibangunkan dengan bandar perubatan, pendidikan, sukan dan pelancongan sekali gus mewujudkan satu zon ekonomi berdaya tinggi dan menguntungkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Surat Hak Milik Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Panchor 1, 11, dan Sikamat 2A, di Padang Awam Rumah Rakyat Panchor, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustapa Salim.

Seramai 234 penduduk dari ketiga-tiga taman perumahan berkenaan mendapat hak milik sementara masing-masing selepas menduduki penempatan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Mohamad berkata, projek koridor pembangunan bersepadu di Kampung Gadong Jaya itu adalah antara sebahagian daripada lembah pembangunan daerah ini yang dirancang kerajaan negeri selepas Bandar Baru Sendayan yang mula dibangunkan secara berperingkat.

"Setakat ini, kos pembangunan projek itu belum dapat dianggarkan kerana ia akan dimajukan pihak swasta sepenuhnya dan kerajaan negeri yakin projek itu akan memberi impak lebih baik kepada masa depan pembangunan negeri ini terutama di daerah Seremban dan Port Dickson.

"Tambahan pula Seremban dan Port Dickson sudah diiktiraf sebahagian daripada kawasan Lembah Klang yang besar dan projek itu nanti sudah pasti memberi limpahan ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada rakyat negeri ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, sebuah syarikat dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu sudah menyatakan persetujuan untuk memajukan kawasan seluas 400 hektar di Bandar Seri Sendayan sebagai bandar pelancongan termasuk membina hotel dan Perkampungan Formula Satu (F1).

Sumber: Berita Harian, 12 November 2008, Edisi Sentral

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin