Thursday, November 13, 2008

DAKIAN 90 DARJAH DI GUNUNG DATUK

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

Para pendaki sedang mendengar taklimat dari Ketua Pendaki


Gunung kebanggaan Negeri Sembilan ini terletak di Kampung Batang Nyamor kira-kira 21 kilometer dari pekan Rembau. Dikatakan mendapat nama sejak 1372 kerana puncaknya pernah digunakan oleh Dato Pepatih Nan Sebatang untuk mesyuarat Ketua-ketua Adat pengisytiharan Dato Lembaga.

Tanggapan awal pendaki pertama kali terhadap Gunung Datuk, mungkin tidak begitu mencabar memandangkan ia hanya setinggi 880 meter (2,900 kaki) dari paras laut.

Sebenarnya menaiki gunung ini akan memberikan cabaran yang cukup berbeza berbanding menaiki gunung-gunung lain meskipun hanya memerlukan sekitar tiga jam untuk ke puncak. Gunung Tahan misalnya memerlukan masa menaiki sehingga enam hari untuk sampai ke puncak.

Selain menikmati keheningan hutan hujan tropika, bandar Rembau, Tampin dan Port Dickson boleh dilihat dengan jelas, pada hari yang cukup cerah pendaki juga boleh menyaksikan pemandangan laut Selat Melaka.

Pendaki hanya perlu mendaftar dan mendapatkan permit mendaki berharga RM1 sebelum memulakan perjalanan mudah selama kira-kira 10 minit, melepasi tapak perkelahan dan air terjun.

Seterusnya pendaki perlu berhadapan dengan laluan semula jadi yang curam dan lebih meletihkan dengan kecondongan di antara 70 hingga 80 darjah.

Sepanjang perjalanan, pendaki akan melihat tongkol-tongkol batu besar yang merupakan ciri istimewa gunung ini dan juga sebahagian daripada halangan semula jadi pendakian.

Pendakian bahagian pertama itu benar-benar pengalaman ini amat menguji fizikal dan mental.


Bergayut pada akar

Meskipun agak menyiksakan, ia adalah pengalaman yang amat hebat kerana antara lain pendaki perlu memanjat dan bergayut pada jalinan akar-akar pokok pengikat tanah yang besar bagi meneruskan perjalanan selama kira-kira satu setengah jam.

Seterusnya anda akan tiba di satu kawasan lapang dan rata serta cukup sesuai sebagai lokasi berkhemah yang boleh memuatkan kira-kira empat buat khemah individu.

Berdiri di tapak ini, sambil cuba mendapatkan semula rentak pernafasan, penulis merasa semakin teruja dengan pendakian seterusnya. Apa agaknya cabaran yang menanti dalam perjalanan menuju puncak Gunung Datuk?

Kata salah seorang pemandu arah, tanah rata itu adalah tanda awal pendakian telah hampir di puncak iaitu hanya perlu merentasi hutan tebal selama kira-kira setengah jam saja lagi.

Laluan denai hutan kali ini lebih sempit ekoran hutan yang lebih tebal berbanding laluan sebelumnya. Lebih menakjubkan terdapat batu besar penuh berlumut yang disimbahi dengan sinar halus cahaya matahari yang menembus dari celah-celah pokok. Ini menghasilkan landskap alam impian yang cukup hebat kepada jurugambar profesional.

Akhirnya selepas hampir tiga jam menerima cabaran Gunung Datuk, penulis berjaya melepasi semua halangan berhutan (tanpa walau seekor pun pacat). Teruja sekali apabila tiba di kawasan perkhemahan, tetapi hanya untuk melihat puncak gunung masih menuntut satu lagi keberanian.

Kebanyakan ahli peserta yang rata-rata pendaki baru sama sekali tidak menyangka dan terpaku seketika apabila menyedari betapa puncak Gunung Datuk amat menggerunkan.

Di sini anda akan melihat bongkah batu paling besar berbanding lain-lain batu yang telah anda lepasi, bahkan mungkin merupakan bongkah terbesar yang pernah anda lihat sepanjang hidup.

Terdapat beberapa batu tongkol yang tersusun kemas sedemikian rupa yang memerlukan anda mendaki dinding batu dengan bantuan tangga besi yang begitu sempit dan terlalu curam setinggi kira-kira lapan meter.

Ya… anda perlu cukup berani untuk melakukan pendakian menegak 90 darjah kerana sememangnya ia amat mencabar!

Panorama 360 darjah

Untuk dua meter terakhir pula, pendaki perlu memeluk batu sambil merangkak. Tidak dinafikan ada yang tidak sanggup untuk mendaki dinding batu tersebut.

Panorama 360 darjah dari puncak tersebut adalah potret alam dan satu lagi bukti kebesaran Maha Pencipta yang terlalu menakjubkan, terlalu sukar untuk digambarkan.

Apatah lagi cuaca hari tersebut cukup baik, hangat dan berangin yang sedikit kencang.

Tarikan di puncak batu ialah satu lekukan sepanjang 15 sentimeter yang kononnya merupakan tapak kaki Hang Tuah yang melompat terbang dari Melaka untuk mengejar Puteri Gunung Ledang.

Lebih mengujakan, memandangkan kedudukan kami lebih tinggi dari kelebatan hutan , secara kebetulan kami dapat melihat (dari pandangan atas) dua ekor enggang terbang tinggi melepasi kanopi hutan.


Tapak kaki ini dikatakan milik Hang Tuah....

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin