Wednesday, September 16, 2009

Prestasi Pembangunan di Parlimen Rembau

Laporan dari www.rembau.net.my

Antara tugas saya sebagai Ahli Parlimen Rembau ialah untuk memantau dan memastikan projek-projek pembangunan yang dikenalpasti oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) dilaksanakan mengikut jadual dan perancangan oleh agensi-agensi berkenaan. Pemantauan ini penting agar tiada sebarang kelewatan dalam sistem penyampaian kerajaan dan supaya kemudahan yang disediakan untuk rakyat betul-betul menepati kehendak mereka. Saya juga mengambil maklum tentang pelaksanaan projek-projek di kawasan Rembau untuk memastikan bahawa kualiti dan mutu pembangunan menepati apa yang diharapkan oleh Kerajaan dan rakyat. Saya tidak mahu melihat projek-projek yang baru siap tetapi tiba-tiba runtuh oleh kerana penyelewengan berlaku di Rembau sepertimana yang berlaku pada sebuah stadium di Terengganu beberapa bulan dahulu.

Justeru, sebagai wakil rakyat BN, saya beranggapan bahawa pemantauan projek-projek pembangunan ini sebagai pengukur prestasi (KPI) yang penting bagi saya. Walaupun kerja-kerja ini dilaksanakan oleh kontraktor swasta dan pemantauan rasmi dibuat oleh agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan lain-lain, wakil-wakil rakyat perlu main peranan yang aktif untuk memastikan projek-projek pembangunan ini membawa perubahan yang nyata kepada masyarakat setempat.

Di sini saya ingin memberi laporan ringkas, khusus kepada warga Rembau, tentang status dan kemajuan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan kita di bawah Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK9). Maklumat ini adalah berdasarkan kepada Laporan Prestasi Projek RMK9 bagi suku pertama tahun 2009, yang dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bertarikh 26 Jun 2009 dan juga pemantauan 'on the ground' yang dibuat oleh saya dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau.

Secara keseluruhan, terdapat 128 projek di bawah 17 Kementerian telah diperuntukkan di bawah RMK9 di Kawasan Parlimen Rembau. Daripada 128 projek tersebut, 43 projek atau 34 peratus berstatus siap sepenuhnya. Manakala bagi baki 72 projek yang lain pula, 56 atau 44 peratus sedang dilaksanakan dan mengikut atau mendahului jadual, 2 atau 1 peratus sedang dilaksanakan namun lewat dari jadual dan akhir sekali, 27 projek atau 21 peratus masih lagi dalam perancangan atau belum lagi dimulakan.

Dari segi agihan pula, saluran peruntukan tertinggi datang dari Kementerian Kementerian Pelajaran dengan 81 projek atau 63 peratus diikuti oleh Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani dengan 9 projek atau 7 peratus dan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Belia dan Sukan dengan masing-masing menyalurkan 8 projek atau 6 peratus.

Sebagai Kementerian yang paling berperanan di Kawasan Parlimen Rembau, saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak Kementerian Pelajaran di atas segala program pembangunan yang 100 peratusnya meliputi projek pembinaan sekolah-sekolah rendah dan menengah di kawasan Rembau. Daripada, 63 projek yang ada, 23 atau 28 peratusnya sudah siap sepenuhnya, 34 pula sedang di dalam proses perlaksanaan manakala 24 atau 29 peratus daripadanya adalah berstatus dalam perancangan atau belum lagi dimulakan.

Selaian Kementerian Pelajaran, terdapat juga projek-projek RMK9 yang masih lagi dalam perancangan atau belum lagi dimulakan oleh Kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan.

Laporan ini menunjukkan bahawa walaupun banyak projek dilaksanakan mengikut jadual, saya selaku wakil rakyat dan seluruh jentera Kerajaan Barisan Nasional perlu melipat gandakan usaha kita untuk memastikan projek-projek yang masih tidak dimulakan dapat digerak dengan segera. Kita hanya ada masa satu tahun lebih sebelum tempoh RMK9 tamat. Untuk memastikan warga Rembau terus yakin dengan kemampuan Barisan Nasional untuk membawa pembangunan yang tersusun dan berkualiti tinggi, saya bertekad untuk memastikan segala perancangan untuk menaik taraf kualiti penduduk di kawasan saya dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.

Selain projek-projek pembangunan tersebut, saya akan memberi lebih tumpuan kepada isu perumahan di Rembau pada tahun akan datang. Permintaan untuk rumah baru di bawah program-program seperti Rumah Mesra Rakyat, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dan Projek Amal Jariah cukup banyak. Saya akan bekerjasama dengan beberapa agensi Kerajaan terutamanya melalui pengkalan maklumat e-Kasih dan juga Focus Group untuk kemisikinan supaya mereka yang layak mendapat bantuan rumah baru atau baikpulih rumah diberi kemudahan tersebut.

Laporan lanjut tentang isu-isu pembangunan di Rembau akan saya muat naik dari masa ke semasa dalam rembau.net.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin