Wednesday, February 18, 2009

Khairy vs Mukhriz dan Khir Toyo

Sumber: Malaysiakini


Tiga calon Ketua Pemuda Umno berkongsi pentas malam ini dengan Khairy Jamaluddin menafikan yang Umno berada dalam krisis yang teruk, manakala Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula sependapat bahawa Umno perlu pembaharuan dan perubahan untuk terus relevan.

Khairy bersetuju bahawa Umno perlukan pembaharuan tetapi menekankan bahawa "Umno tidak seteruk yang digambarkan, bukan parti yang ditolak dalam pilihanraya umum lalu".

Menurutnya, Umno tidak sampai ke tahap krisis yang teruk,tetapi Barisan Nasional (BN) dihukum dalam pilihanraya umum lalu kerana "kita tidak dapat menguruskan kemenangan besar yang kita perolehi pada 2004".

"... (kita) mesti kembali ke situ," katanya dalam program mingguan 'Hujah' yang disiarkan secara langsung oleh TV9 malam ini.

Dalam program tersebut, pengerusinya Prof Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengemukakan soalan kepada ketiga-tiga mereka mengenai Umno, pertandingan ketua Pemuda Umno, isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mengenai pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Program tersebut diadakan di Dewan Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka (DEB) yang dihadiri kira-kira 350 orang termasuk pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan UKM.

Menurut Khairy lagi, negara berada dalam persekitaran yang berbeza daripada dahulu.

Khairy: Persekitaran berbeza

"Kita berada di persekitaran politik yang terbuka di mana banyak isu diperbahas secara terbuka di internet dan blog, maka harapan rakyat terhadap kerajaan semakin meningkat," katanya.

Namun begitu, katanya, kerajaan BN telah meningkatkan usaha seperti menentang rasuah dan mempertingkatkat institusi kehakiman.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ia bukan tugas yang boleh dilakukan dalam sekelip mata.

"Kita jangan lihat, peralihan kuasa dan pembaharuan, akan selsesaikan semuanya," katanya.

"Tapi (jika) peralihan kuasa itu tidak diikuti langkah memenuhi janji-janji kita, maka perubahan itu adalah sia-sia sahaja," katanya.

Dr Khir pula berkata Umno bukan sahaja memerlukan pembaharuan dan perubahan tetapi juga perlu menangani soal persepi buruk yang dilabelkan oleh pembangkang terhadapnya.

"Bila bercakap tentang politik, ia adalah mengenai persepsi... Persepsi yang diberi pembangkang (terhadap Umno) buruk sekali... Umno tidak mesra rakyat, sombong...

"Bila Umno tidak dilihat memperjuangkan bangsa dan agama, atau jati diri, (maka) jadi orang yang meluat dengan Umno akan menyertai parti lain...," tegasnya.

Oleh itu, katanya Pemuda umno perlu berusaha menggarapkan semula Umno yang dulunya berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Malah, tegas Dr Khir, rata-rata anggota Pemuda Umno sendiri - bila ditanya tujuan mereka menyertai Umno - jarang boleh menjawabnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya bagi pergerakan itu memperbanyakkan kursus wajadiri di kampung dan bandar.

Manakala Mukhriz pula berkata, Umno telah agak terpesong dari halatuju asal parti itu sejak tahun 2004 dan ia merupakan antara sebab rakyat hilang kepercayaan kepada Umno dan BN.

"Bila ini berlaku, maka merundum sokongan dari rakyat, Perbezaan keputusan pilihanraya umum 2004 dan 2008 seperti langit dan bumi..," tegasnya.

Usaha untuk memulihkan semula Umno, menurut Mukhriz, memerlukan rombakan di peringkat kepimpinan tertinggi kerana parti memerlukan kepimpinan yang tegas.

"Kita sudah menyimpang dari perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair... Rakyat tidak lihat kita benar-benar berpegang kepada perjuangan kita.

"Ucapan kita sudah jadi retorik, dan orang kata kita retorik dan tidak amalkan apa yang kita cakap...," katanya.

Berikutan itu, tambahnya, lahir banyak NGO yang telah mengambil alih peranaan Umno dan mendapat sokongan dan ramai ahli.

Prof Agus turut bertanya mengenai Pemuda Umno yang menurutnya di mana sahaja hanya bercakap mengenai orang Melayu, sedangkan parti-parti komponen BN yang lain tidak begitu.

Contohnya, kata beliau, parti Gerakan telah membuat laporan polis berhubung keselamatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilaporkan terancam serta Wanita MCA yang memberi sokongan kepada Elizabeth Wong ekoran penyebaran foto bogelnya kepada umum.

Menjawab soalan itu, Dr Khir berkata: "Kita harus lihat orang Melayu sebagai tunggak kepada politik Malaysia, jika tumbang politik Melayu, maka akan tumbang politik negara, jadi tidak boleh samakan Umno dengan MCA dan Gerakan."

Ditanya mengenai kekalahan kerajaan BN pimpinannya di Selangor, Dr Khir menjelaskan bahawa kekalah BN bukan di Selangor sahaja, malah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak juga, yang berpunca daripada isu-isu nasional.

Malah, katanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah kalah dalam pilihanraya umum 1969 manakal Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah tewas dalam pemilihan jawatan naib presiden pada 1993.

"Kita belajar dari kekalahan," katanya sambil menegaskan bahawa semangat Melayu tidak pernah luntur.

Mengenai ISA

Mengenai ISA pula, Khairy berkata, tentangan generasi muda terhadap penggunaan akta tersebut cukup meluas.

Berikutan itu, kata naib ketua Pemuda Umno itu, penjelasan tentang ISA perlu dibuat kepada generasi muda.

“ISA adalah proses yang dibuat oleh seorang sahaja iaitu menteri dalam negeri tanpa perlu proses mahkamah.

“Tetapi kita perlu undang-undang untuk mencegah keselamatan negara, saya tidak takut berbahas dengan pembangkang mengenai perkara ini,” katanya.

Manakala Dr Mohd Khir pula mendakwa, tindakan kerajaan dalam isu penghinaan terhadap Raja-raja Melayu amat lemah.

Menurutnya, rakyat kecewa kerana kerajaan lambat bertindak kerana mereka mahu kerajaan mengatasi isu itu dengan segera.

“Saya difahamkan sudah ada lebih 100 laporan terhadap Karpal Singh tetapi belum ada tindakan.

“Kekecewaan rakyat ini menyebabkan mereka mengadakan demontrasi,” katanya.

Menurut Dr Mohd Khir, Raja-raja Melayu tidak boleh didakwa kecuali di mahkamah khas yang membabitkan isu-isu peribadi mereka.

Sementara Mukhriz pula berkata, kepimpinan perlu tegas menjalankan undang-undang untuk menjaga keamanan negara.

Katanya, kepentingan rakyat hendaklah terjaga dan terbela.

“Orang yang mengadakan demonstrasi jalanan, kita tidak menggunakan ISA dan keadaan ini menyebabkan keputusan pilihanraya tidak memihak kepada kita,” katanya.

Mukhriz menegaskan kepimpinan negara yang tegas sangat penting untuk menghasilkan kejayaan.

DEB, Ketuanan Melayu

Bercakap tentang ketuanan Melayu, Dr Khir berkata, persoalan hak istimewa orang Melayu dan kontrak sosial tidak perlu dipersoalkan kerana ia dijamin dalam perlembagaan.

“Kalau tidak puas hati, bawa ke parlimen, pinda perlembagaan, barulah menjadi seperti negara Barat, kalau itulah yang diidamkan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa isu ketuanan Melayu sama sahaja dengan ketuanan rakyat yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya idea kesamarataan antara kaum dan agama yang dikemukakan Anwar harus dibimbangkan kerana perkara itu telah dijamin dalam perkara-perkara tertentu seperti Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin