Monday, May 18, 2009

SOALAN KHAIRY DI DEWAN RAKYAT BERKAITAN PRODUK KRAFTANGAN DI TELAPAKNYA, KAMPUNG GADONG DAN INDUSTRI KRAFTANGAAN NEGARA

MALAYSIA
DEWAN RAKYAT
Rabu, 19 November 2008
Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar)
mempengerusikan Mesyuarat]

SOALAN
3. Tuan Khairy Jamaluddin [Rembau] minta Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyatakan bantuan yang boleh diberikan kepada persatuan untuk mendorong aktiviti kraf tangan yang boleh membantu golongan berpendapatan rendah seperti Persatuan Pekebun Kecil Wanita Gadong di Rembau yang berkecimpung di dalam industri kraf tangan berasaskan rotan.


JAWAPAN
Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan [Tuan Teng Boon Soon]: Tuan Yang di-Pertua, kraf tangan Malaysia mempunyai cawangan di setiap negeri dan satu kompleks kraf di Pulau Langkawi. Kementerian melalui agensinya kraf tangan Malaysia melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Kraf di negeri-negeri. Di bawah program ini, usahawan kraf diberi bantuan dan kemudahan, tidak mengira sama ada individu atau persatuan. Jenis bantuan yang disediakan adalah berbentuk prasarana, pengeluaran seperti bengkel, mesin jentera dan peralatan. Latihan kemahiran tenaga kerja, pembangunan pengeluaran produk baru serta pembangunan pasaran dan promosi produk. Kementerian juga menyediakan kemudahan disetiap cawangan kraf tangan Malaysia iaitu premis untuk inkubator kraf dan pusat guna sama.

Dikawasan Rembau, kementerian melalui Kraftangan Malaysia sedang membangunkan empat unit pengeluaran yang berkecimpung dalam bidang kraf tangan berasaskan rotan di bawah Projek Satu Daerah Satu Industri iaitu produk kraf.

■1030 - Empat unit pengeluaran yang dimaksudkan tadi ialah:
(i) Persatuan Pekebun Kecil Wanita Gadong di Rembau;
(ii) Malina Craft di Kampung Chuai Hilir, Rembau
(iii) Nun Sanakin Product Sdn. Bhd. di kawasan Perindustrian Chembong, Rembau;
(iv) Taman Kota Enterprise di Rumah Rakyat Kota, Rembau.

Bantuan yang diberikan kepada unit-unit pengeluaran ini berbentuk penambahbaikan bengkel, pinjaman mesin dan peralatan ringan, latihan kemahiran tenaga kerja dan bekalan bahan mentah untuk menghasilkan produk baru. Jenis bantuan yang diberikan bergantung pada keperluan setiap unit pengeluaran. Bagi Persatuan Pekebun Kecil Wanita Gadong di Rembau, setakat ini kementerian telah memberi bantuan bekalan bahan mentah untuk pengeluaran produk rotan dan sedang mengkaji keperluan bantuan prasarana. Kementerian juga menyediakan kemudahan pusat guna sama di cawangan Kraftangan Malaysia bertempat di Kuala Pilah.

SOALAN
Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri kerana begitu prihatin terhadap pengusaha-pengusaha kecil di kawasan Rembau. Saya hendak bertanya soalan, kita mahu melihat industri kraftangan negara ini maju bukan hanya sebagai satu cottage industry tetapi menembusi pasaran global dengan standard ataupun mutu antarabangsa. Kalau kita lihat negara-negara jiran kita, mereka berjaya membangunkan industri ini apabila produk-produk mereka dijual di kota-kota besar di serata dunia pada harga yang tinggi dan secara langsung membawa pulangan ataupun pendapatan yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha kecil mereka.

Jadi, soalan saya ialah apakah pendekatan kerajaan untuk meningkatkan nilai (value) industri kraf tangan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Contohnya saya difahamkan baru-baru ini Kraftangan Malaysia akan mewujudkan perjanjian dengan Harrods of London untuk menjual produk Kraftangan Malaysia di sana, adakah kementerian bercadang untuk mengadakan kerjasama sebegini dengan retailers terkemuka yang lain di dunia. Terima kasih.

JAWAPAN
Tuan Teng Boon Soon: Tuan Yang di-Pertua, memanglah Kraftangan Malaysia sudah mengadakan pelbagai strategi pembangunan industri kraf. Ini termasuk pembangunan pasaran, pembangunan produk, peningkatan penggunaan teknologi dalam pengeluaran, pembangunan standard dan pengurusan kualiti, pembangunan usahawan, pengekalan kraf warisan dan pembangunan sumber tenaga mahir. Bagi pemasaran di peringkat antarabangsa, kita memang adakan pelbagai program untuk mempromosikan produk kraf tempatan di luar negara.

Dalam usaha untuk memasarkan produk kraf Malaysia di luar negara, Kraftangan Malaysia telah mengambil langkah melaksanakan beberapa pendekatan iaitu dengan menyertai pameran perdagangan utama di beberapa negara secara konsisten sejak beberapa tahun dahulu iaitu di United Kingdom, Hong Kong, Jerman dan Singapura. Pasaran baru di Timur Tengah juga turut diterokai seperti United Arab Emirates, usahawan kraf berpeluang untuk mempromosikan produk masing-masing dengan bantuan Skim Insentif Galakan Dagangan yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia.

Selain daripada itu Kraftangan Malaysia juga menyertai pameran pengguna atau consumer fair di mana pengusaha berpeluang untuk menjual terus kepada pengguna yang melawat pameran. Sebagai contoh, Kraftangan Malaysia menyertai pameran Ina Craft di Indonesia. Pameran seumpama ini turut dikunjungi oleh pedagang dari negara luar bagi mendapatkan produk produk baru. Kraftangan Malaysia turut menganjurkan Program Promosi Minggu Malaysia yang telah diadakan di London selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2006. Selain aktiviti pelancongan, kebudayaan dan kesenian yang ditonjolkan, jualan pelbagai produk kraf daripada batik, logam, kayu, kraf Orang Asli dan lain-lain merupakan salah satu elemen yang diberikan perhatian utama. Hasilnya produk kraf semakin dikenali di negara tersebut melalui peningkatan jualan tunai yang diperoleh iaitu pada tahun 2006, sebanyak RM2,018, tahun 2007 meningkat menjadi RM294,000 dan pada tahun 2008 hasil penjualan ialah sebanyak RM398,000.

Jadi, program seumpama ini turut dirancang di negara-negara lain pada masa akan datang. Kraftangan Malaysia juga turut memberi kerjasama dengan mengambil bahagian dalam promosi di luar negara yang dianjurkan oleh kementerian / agensi yang berkaitan seperti Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam memasarkan produk kraf tempatan. Sebagai contoh, pada tahun 2008 Kraftangan Malaysia menyertai promosi World Expo di Zaragoza, Sepanyol dari 13 Jun hingga 13 September 2008 yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Jumlah jualan yang diperoleh adalah menggalakkan iaitu sebanyak RM220,000.


Lawatilah Bengkel Gerak Wanita Gadong

BENGKEL GERAK WANITA CAWANGAN GADONG

Bengkel Gerak Wanita Cawangan Gadong mula beroperasi pada tahun 2000. Aktiviti yang dijalankan adalah membuat kraftangan dari rotan dan daun getah seperti 'boko', bakul serbaguna, cermin hiasan, bekas telur, tudung saji, dulang rotan, bunga gubahan dan bermacam-macam lagi. Ahli yang berdaftar hingga ke hari ini adalah seramai 15 orang.

Bengkel Kraftangan ini dibuka pada setiap hari Isnin dan Rabu. Kelas akan bermula dari jam 3.00 petang dan berakhir kira-kira jam 5 petang. Pada setiap minggu mereka akan dilatih membuat pelbagai jenis kraftangan dari rotan daun getah yang telah diproses sehingga mahir. Yuran yang dikenakan kepada ahli adalah sebanyak RM5.00 sebulan. Produk yang telah siap dihasilkan akan dijual atau dipasarkan sama ada secara persendirian atau pun dengan menyertai sebarang program atau pameran yang diadakan.

Antara ahli Bengkel Bengkel
Gerak Wanita Cawangan Gadong
Demonstrasi membuat bakul
Jemari Kreatif Wanita Gadong
Ketua Wanita Gadong juga pandai menganyam bakul Tenaga Pengajar dari RISDA Rembau Kagum dengan hasil kreativiti menggunakan daun getah
Koleksi Kraftangan dari Rotan dan Daun Getah

Antara Kraftangan yang dihasilkan ialah :

Kraftangan

Harga

Cermin muka RM 30.00 -RM 80.00
Dulang RM 25.00 - RM 30.00
Tudung Saji RM 20.00 - RM 40.00 (saiz mengikut tempahan)
Bakul telor RM 1.50 - RM 2.00
Bakul serbaguna RM 20.00 - RM 30.00

Bengkel ini sentiasa menerima ahli-ahli baru atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari seni kraftangan. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi :

Pn Zaharah Bt Alias
06-4381141
di alamat
No. 11, Rumah Raayat Kota, 71350 Kota N. Sembilan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin