Tuesday, January 20, 2009

KHAIRY MENYALAKAN TANG LUNG DI PEKAN PEDAS

Oleh: Rizuan Ahamad/Tee

Gambar: Tee



KJ menyampaikan bantuan hamper Tahun Baru Cina kepada warga emas.



Pekan Pedas, 19 Januari 2009 – Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelma, Saudara Khairy Jamaluddin telah berkesempatan untuk meluangkan masa untuk turun ke Majlis Menghidupkan Tang Lung Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Cina Pekan Pedas, Persatuan Murid-murid Tua SJK (C) Pei Hwa, MCA dan Gerakan Rembau.



Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Tuan Zaifulbahri Bin Idris, ADUN Chembong dan Tuan Haji Mohd Rawi, Pegawai Daerah Rembau serta pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional tempatan. Program menyalakan lampu hiasan ini merupakan satu acara tradisi bagi masyarakat keturunan Tionghwa di sana serta turut diraikan oleh masyarakat Melayu dan India yang tinggal bersama-sama di kawasan tersebut.



Menurut Pengerusi Persatuan Murid-murid Tua SJK (C) Pei Hwa, yang mewakili persatuan-persatuan yang lain, Saudara Ricky Tan cheong Hin dalam ucapannya, Malaysia cukup bertuah kerana setiap perayaan yang ada di Malaysia diraikan oleh semua masyarakat berbilang kaum, dan hubungan harmoni inilah yang menjadi nadi kepada perpaduan sesama kita.



Sementara Khairy dalam ucapannya pula mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sana. Menurut beliau, Tahun Baru Cina yang mendatang diwakili oleh Tahun Lembu, yang boleh disifatkan tahun yang memerlukan kita semua bekerja keras. Beliau juga menegaskan bahawa beliau akan terus bekerja kuat seperti seekor lembu untuk memastikan Parlimen Rembau menerima limpahan pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.



Sebagai tanda terima kasih, beliau mengumumkan untuk memberikan peruntukan sebanyak RM4,000.00 bagi menambahkan lagi jumlah lampu hiasan sedia ada. Dan sebagai komitmen beliau dan ADUN Chembong untuk memperbaiki infrastruktur awam di pekan berkenaan, sebanyak RM15,000.00 diberikan kepada mereka.



Pada majlis tersebut juga, Khairy dengan bermurah hati telah menyumbangkan hamper kepada 66 orang warga emas sebagai persiapan mereka menyambut hari perayaan tersebut. Dan sebagai penutup, beliau dan YB Zaifulbahri telah menyampaikan angpow kepada kanak-kanak yang hadir di majlis tersebut, dan kanak-kanak dari keturunan yang lain juga tidak ketinggalan menerima angpow daripada kedua-dua tetamu istimewa itu.





Selamat Tahun Baru Cina






LAporan Bergambar



KJ menandatangani poster yang disediakan oleh penganjur untuk kenangan penganjur.



KJ diringi oleh pemimpin masyarakat dari pelbagai kaum semasa menyempurnakan Majlis Menyalakan Tang Lung Tahun Baru Cina.



Antara pemimpin tempatan yang hadir ke majlis tersebut.



KJ menyampaikan “Ang Pao” kepada kanak-kanak.



KJ menyampaikan bantuan tahun bari cina kepada wargamas.



LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin