Thursday, November 13, 2008

DAKIAN 90 DARJAH DI GUNUNG DATUK

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

Para pendaki sedang mendengar taklimat dari Ketua Pendaki


Gunung kebanggaan Negeri Sembilan ini terletak di Kampung Batang Nyamor kira-kira 21 kilometer dari pekan Rembau. Dikatakan mendapat nama sejak 1372 kerana puncaknya pernah digunakan oleh Dato Pepatih Nan Sebatang untuk mesyuarat Ketua-ketua Adat pengisytiharan Dato Lembaga.

Tanggapan awal pendaki pertama kali terhadap Gunung Datuk, mungkin tidak begitu mencabar memandangkan ia hanya setinggi 880 meter (2,900 kaki) dari paras laut.

Sebenarnya menaiki gunung ini akan memberikan cabaran yang cukup berbeza berbanding menaiki gunung-gunung lain meskipun hanya memerlukan sekitar tiga jam untuk ke puncak. Gunung Tahan misalnya memerlukan masa menaiki sehingga enam hari untuk sampai ke puncak.

Selain menikmati keheningan hutan hujan tropika, bandar Rembau, Tampin dan Port Dickson boleh dilihat dengan jelas, pada hari yang cukup cerah pendaki juga boleh menyaksikan pemandangan laut Selat Melaka.

Pendaki hanya perlu mendaftar dan mendapatkan permit mendaki berharga RM1 sebelum memulakan perjalanan mudah selama kira-kira 10 minit, melepasi tapak perkelahan dan air terjun.

Seterusnya pendaki perlu berhadapan dengan laluan semula jadi yang curam dan lebih meletihkan dengan kecondongan di antara 70 hingga 80 darjah.

Sepanjang perjalanan, pendaki akan melihat tongkol-tongkol batu besar yang merupakan ciri istimewa gunung ini dan juga sebahagian daripada halangan semula jadi pendakian.

Pendakian bahagian pertama itu benar-benar pengalaman ini amat menguji fizikal dan mental.


Bergayut pada akar

Meskipun agak menyiksakan, ia adalah pengalaman yang amat hebat kerana antara lain pendaki perlu memanjat dan bergayut pada jalinan akar-akar pokok pengikat tanah yang besar bagi meneruskan perjalanan selama kira-kira satu setengah jam.

Seterusnya anda akan tiba di satu kawasan lapang dan rata serta cukup sesuai sebagai lokasi berkhemah yang boleh memuatkan kira-kira empat buat khemah individu.

Berdiri di tapak ini, sambil cuba mendapatkan semula rentak pernafasan, penulis merasa semakin teruja dengan pendakian seterusnya. Apa agaknya cabaran yang menanti dalam perjalanan menuju puncak Gunung Datuk?

Kata salah seorang pemandu arah, tanah rata itu adalah tanda awal pendakian telah hampir di puncak iaitu hanya perlu merentasi hutan tebal selama kira-kira setengah jam saja lagi.

Laluan denai hutan kali ini lebih sempit ekoran hutan yang lebih tebal berbanding laluan sebelumnya. Lebih menakjubkan terdapat batu besar penuh berlumut yang disimbahi dengan sinar halus cahaya matahari yang menembus dari celah-celah pokok. Ini menghasilkan landskap alam impian yang cukup hebat kepada jurugambar profesional.

Akhirnya selepas hampir tiga jam menerima cabaran Gunung Datuk, penulis berjaya melepasi semua halangan berhutan (tanpa walau seekor pun pacat). Teruja sekali apabila tiba di kawasan perkhemahan, tetapi hanya untuk melihat puncak gunung masih menuntut satu lagi keberanian.

Kebanyakan ahli peserta yang rata-rata pendaki baru sama sekali tidak menyangka dan terpaku seketika apabila menyedari betapa puncak Gunung Datuk amat menggerunkan.

Di sini anda akan melihat bongkah batu paling besar berbanding lain-lain batu yang telah anda lepasi, bahkan mungkin merupakan bongkah terbesar yang pernah anda lihat sepanjang hidup.

Terdapat beberapa batu tongkol yang tersusun kemas sedemikian rupa yang memerlukan anda mendaki dinding batu dengan bantuan tangga besi yang begitu sempit dan terlalu curam setinggi kira-kira lapan meter.

Ya… anda perlu cukup berani untuk melakukan pendakian menegak 90 darjah kerana sememangnya ia amat mencabar!

Panorama 360 darjah

Untuk dua meter terakhir pula, pendaki perlu memeluk batu sambil merangkak. Tidak dinafikan ada yang tidak sanggup untuk mendaki dinding batu tersebut.

Panorama 360 darjah dari puncak tersebut adalah potret alam dan satu lagi bukti kebesaran Maha Pencipta yang terlalu menakjubkan, terlalu sukar untuk digambarkan.

Apatah lagi cuaca hari tersebut cukup baik, hangat dan berangin yang sedikit kencang.

Tarikan di puncak batu ialah satu lekukan sepanjang 15 sentimeter yang kononnya merupakan tapak kaki Hang Tuah yang melompat terbang dari Melaka untuk mengejar Puteri Gunung Ledang.

Lebih mengujakan, memandangkan kedudukan kami lebih tinggi dari kelebatan hutan , secara kebetulan kami dapat melihat (dari pandangan atas) dua ekor enggang terbang tinggi melepasi kanopi hutan.


Tapak kaki ini dikatakan milik Hang Tuah....

AGRO-BIOTEC EXPO NS 2008, 13-18 NOVEMBER 2008

Hari Penternak, Peladang dan Nelayan peringkat kebangsaan dan negeri telah dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan bidang penternakan, pertanian dan perikanan kepada umum amnya. Dan pada tahun ini, majlis tersebut telah diadakan di Bekas Tapak Tentera, Paroi. Expo ini telah bermula pada hari ini dan tamat pada 18 November 2008.



Expo ini diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat tentang potensi dalam bidang pertanian, penternakan dan pemprosesan hasil tani serta bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi Kerajaan Barisan Nasional. Ininya juga dapat memberi faedah kepada pengusaha bagi mengembangkan perniagaan mereka dengan kaedah teknologi terkini dan mendapatkan pasaran baru.

Penganjuran Agro-Biotec Ekspo 2008 dan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Peringkat 2008 di Paroi, Seremban ini adalah selain sebagai salah satu kesinambungan daripada program-program promosi yang telah dilaksanakan, ia juga mewakili satu peningkatan terhadap isi kandungan pameran/promosi dengan melibatkan sektor-sektor berteknologi tinggi yang berkaitan dengan Bioteknologi.


Marilah kita sama-sama melapangkan masa ke expo tersebut. Pengunjung boleh membeli secara langsung dari pengusaha produk-produk asas tani yang mereka keluarkan.


Nurul, Pu3 Rembau



Wednesday, November 12, 2008

PILIHAN KELUARGA SEMPENA CUTI SEKOLAH -

Taman Tema Pedas

Sumber: Pejabat Daerah Rembau


Code











PEDAS atau "Podeh" dalam loghat Negeri Sembilan adalah pekan kecil yang terletak di Rembau, daerah di selatan negeri itu yang masih mengekalkan tradisi lama Adat Perpatih.

Berbanding pekan kecil lain di daerah itu seperti Chengkau, Astana Raja, Kota dan Lubuk Cina, Pedas dilihat lebih menonjol dan tersohor kerana mempunyai daya tarikan kolam air panas semula jadi yang ditemui masyarakat di situ sekitar abad ke-19.

Kolam itu dikatakan pernah menjadi tempat tentera Jepun dan Inggeris memulihkan luka akibat peperangan dan khasiatnya yang dipercayai mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit dan lenguh sendi serta mampu merenggangkan otot badan dan saraf yang tegang, menyebabkan ia menjadi tumpuan ramai.

Kalangan pengunjung yang mengunjungi kolam berkenaan bukan saja penduduk tempatan tetapi juga luar negara dari Thailand, Jepun dan Singapura yang sanggup datang ke situ untuk berikhtiar mengubati penyakit tertentu.

Namun, kolam yang mempunyai kepanasan suhu mencecah antara 28 hingga 46 darjah celsius itu sudah dinaik taraf menjadi taman tema air dikenali Wet World Resort Pedas Hot Spring pada 1998 sebelum dibuka kepada orang ramai pada 1999 sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan

Bagaimana ke sana?

Pengunjung boleh datang melalui Lebuhraya Utara Selatan dan masuk di laluan susur keluar Pedas/Rembau sebelum mengambil jalan lama Tampin-Seremban. Mereka juga boleh melalui Plaza Tol Senawang sebelum menyusur keluar jalan lama Seremban-Tampin. Perjalanan dari bandar Seremban ke WWRPHS pula mengambil masa kira-kira 20 minit.

NEGERI SEMBILAN BAKAL MILIKI LAPANGAN TERBANG

Oleh: Hussain Said


Pembangunan bersepadu seluas 2,800 hektar tak lama lagi


MOHAMAD bersama penerima surat hak milik pada Majlis Penyerahan Suratan Hak milik bagi PAKR Panchor 1, Panchor 2 dan Sikamat 2A di Dataran Balai Raya, Rumah Rakyat Panchor.

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal memiliki sebuah lapangan terbang apabila projek koridor pembangunan bersepadu membabitkan kawasan seluas 2,800 hektar berdekatan Kampung Gadong Jaya, Labu, dekat sini, dibangunkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pada dasarnya projek pembinaan lapangan terbang itu yang akan dibangunkan syarikat Sime Darby sudah dipersetujui dan kertas mengenainya akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet.

Katanya, pembinaan lapangan terbang itu nanti bukan saja menyokong dan mewujudkan rangkaian dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan kawasan setempat.

"Selain pembinaan lapangan terbang, kawasan itu akan dibangunkan dengan bandar perubatan, pendidikan, sukan dan pelancongan sekali gus mewujudkan satu zon ekonomi berdaya tinggi dan menguntungkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Surat Hak Milik Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Panchor 1, 11, dan Sikamat 2A, di Padang Awam Rumah Rakyat Panchor, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustapa Salim.

Seramai 234 penduduk dari ketiga-tiga taman perumahan berkenaan mendapat hak milik sementara masing-masing selepas menduduki penempatan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Mohamad berkata, projek koridor pembangunan bersepadu di Kampung Gadong Jaya itu adalah antara sebahagian daripada lembah pembangunan daerah ini yang dirancang kerajaan negeri selepas Bandar Baru Sendayan yang mula dibangunkan secara berperingkat.

"Setakat ini, kos pembangunan projek itu belum dapat dianggarkan kerana ia akan dimajukan pihak swasta sepenuhnya dan kerajaan negeri yakin projek itu akan memberi impak lebih baik kepada masa depan pembangunan negeri ini terutama di daerah Seremban dan Port Dickson.

"Tambahan pula Seremban dan Port Dickson sudah diiktiraf sebahagian daripada kawasan Lembah Klang yang besar dan projek itu nanti sudah pasti memberi limpahan ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada rakyat negeri ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, sebuah syarikat dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu sudah menyatakan persetujuan untuk memajukan kawasan seluas 400 hektar di Bandar Seri Sendayan sebagai bandar pelancongan termasuk membina hotel dan Perkampungan Formula Satu (F1).

Sumber: Berita Harian, 12 November 2008, Edisi Sentral

Tuesday, November 11, 2008

TERBARU !!!! BLOG KOMUNITI REMBAU

Hi Semua,

Selamat datang ke Blog Komuniti Rembau News. Blog ini akan melaporkan aktiviti-aktiviti menarik yang berlaku di dalam Parlimen Rembau.

Antara laporan yang bakal disediakan adalah meliputi:

1. Kesenian dan Kebudayaan
2. Sukan dan Rekreasi
3. Belia dan Remaja
4. Ekonomi Desa dan keusahawanan
5. Kepimpinan dan Persatuan dll




Semoga dengan adanya blog ini, ramai pihak akan mendapat manfaat terutamanya masyarakat dalam Parlimen Rembau.

Salam manis dari kami...


Nurul (Pu3 Rembau)
Pembantu Editor

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin