Tuesday, October 21, 2008

BANJIR DI RANTAU

19 Oktober 2008 - banjir luar biasa telah melanda Parlimen Rembau (Kawasan Paroi dan Rantau) yang telah menyebabkan beberapa kawasan yang belum pernah mengalami banjir ditimpa musibah tersebut. Kejadian tersebut telah menyebabkan kebanyakan struktur tebing sungai runtuh dan mengancam penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai.

Bagi menilai dan membantu mangsa banjir, Pejabat Parlimen Rembau dan Pemuda UMNO Rantau telah melawat kawasan dan rumah yang mengalami kerosakan serius. setiap mangsa dinilai kerosakannya, dan Pejabat Parlimen akan memberikan Bantuan Kecemasan bagi meringankan beban mangsa banjir.


Air setinggi 5 kaki


Keadaan rumah selepas kejadian


Kerja pembersihan sedang dijalankan


Kerosakan yang mengancam keselamatan penduduk


Antara mangsa yang terlibat dan dipindahkan semasa kejadian


Kerosakan harta benda yang serius


Tebing runtuk kurang 6 kaki dari rumah mangsa


Tindakan Segera sedang dijalankan oleh Pejabat Daerah

KASIHI YANG MEMERLUKAN

18 Oktober 2008 - Lawatan ke rumah Puan Salmah dan anak-anak

Selepas mendapat maklumat daripada Cikgu Hajah Shamsiah, yang merupakan Guru Besar Sek. Keb. Astana Raja mengenai nasib yang menimpa anak-anak Puan Salmah, KJ telah memutuskan untuk singgah sebentar melawat keluarga tersebut di Kampung Semelenggong, Astana Raja.

Pada lawatan tersebut, KJ telah dimaklumkan tentang situasi yang dialami oleh Puan Salmah dan keperluan semasa untuk anak-anaknya berulang alik ke sekolah. Puan salmah tidak berkemampuan untuk menghantar anaknya ke sekolah dengan pengangkutan awam kerana pendapatannya sebagai pembantu kantin sekolah hanyalah RM15 sehari atau RM300 sebulan.

Bagi meringankan beban dan masalah Puan Salmah, KJ telah menyampaikan 2 buah basikal yang didermakan oleh Ketua Pemuda UMNO Cawangan Astana Raja. KJ telah menyampaikan sejumlah wang bagi meringankan beban pemohon.


KJ mendengar dengan teliti setiap masalah Puan Salmah

Sumbangan ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada anak-anak ini untuk berjaya pada masa akan datang.

p/s: Perjalan ini masih jauh untuk kita semua, bantulah mereka yang boleh kita bawa bersama.

Friday, August 15, 2008

Rembau - Mentera Beradu


Sebelum jadi bangkai ikan koi renang-renang
Pura-pura salah jawapan untuk naik berang
Panggil lima kawan atau biar pergi laju
Risau perkara remeh kita tak akan maju

Assalamualaikum. Salam sejahtera...

Setelah sekian lama tidak menulis, coretan hari ini berlaku adalah kerana tarikan dan minat penulis terhadap lagu Mentera Beradu yang dinyanyikan secara duet oleh M.Nasir dan Malique TooPhat (Mereka adalah artis yang penulis sentiasa kagumi). Bukan kerana apa, tetapi lirik yang dinyanyikan oleh mereka mempunyai maksud yang mendalam dan penuh pengajaran. 

Tiada kaitan secara langsung dengan Rembau. Lagu ini hanyalah sebagai inspirasi penulis untuk menulis dalam laman ini. Lirik ini dilihat lebih kepada pantun 2 kerat versi moden.

Daripada lirik yang dicantas daripada keseluruhan lirik lagu itu, penulis hanya ingin memilih satu baris sahaja iaitu "risau perkara remeh kita tak akan maju". Ini adalah satu keadan yang sering menjadi penghalang kepada kita untuk terus maju. Namun persoalannya, penilaian terhadap sesuatu perkara untuk dijadikan sebagai "REMEH" adalah sesuatu yang bersifat subjektif. 

Teringat kembali lagu yang dinyanyikan oleh Pak Pandir; 

"Yang remeh dan yang temeh,
Berlegar di sekelilingku,
Biarkan, biarkan, biarkan berlaku"

Namun, persoalan tentang yang mana satukah perkara remeh atau penting bergantung kepada persekitaran, tahap pendidikan dan pededahan seseorang individu dalam suasana dan budaya yang pelbagai. 

Pendedahan dan perbincangan, dalam iklan susu jenama X mengesyorkan bahawa anak-anak akan mempelajari perkara baru dengan meneroka dunia di sekelilingnya. Namun ada ibu bapa yang terlalu sayangkan anak mereka sehingga memijak rumput dan pasir di pantai juga dikhuatiri memudaratkan kesihatan anak mereka. Walaupun isu kesihatan bukanlah sesuatu perkara yang remeh, tetapi menjangkakan sesuatu yang buruk boleh berlaku terhadap anak-anak akibat daripada kuman yang tak nampak di mata adalah sesuatu yang kurang munasabah.

Mungkin tindakan tersebut berlaku kesan daripada pengalaman lalu yang menjadi calar dalam diri mereka. Mungkin juga itu merupakan satu tradisi yang dipelajari dan diikuti oleh seluruh ahli keluarga. Manusia ini pelbagai. 

Yang penting adalah pegangan dan pemahaman terhadap isu utama dan asas terhadap pelaksanaan setiap perkara. Di Pusat Khidmat ini, perkara pokok adalah untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat sekitar Parlimen Rembau. Untuk itu, setiap petugas diberi peluang untuk melaksanakan kerja mereka mengikut keupayaan dan kemahiran yang semakin berkembang, dan tolak ansur dalam melaksanakan tanggungjawab adalah menjadi keutamaan.

YB Ahli Parlimen juga lebih bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat, dan sentiasa menerima pandangan untuk meningkatkan lagi operasi pusat khidmat ini. Kurangkan perkara temeh dan birokrasi, pasti kita akan jadi lebih maju.

Pemerhatian ke atas YB Ahli Parlimen: Yang remeh adalah pakaian ke Solat Jumaat (Cukup sekadar bersongkok, berbaju melayu dan berseluar), dan perkara UTAMA adalah menghadap Allah s.w.t. ... Amin


Thursday, June 5, 2008

HOMESTAY KG. BATANG NYAMOR, REMBAU

NI KIRA PROMOSI KAMPUNG DEN LA NI...

Pada 21-23 mac 2008 yang lalu, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan telah memilih kampung ese (saya) untuk menganjurkan Homestay Kampung Tradisional. Sebagai latihan, pihak pelancongan telah membuat program Try Run Homestay yang disertai oleh 50 orang pelajar Kolej. Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Rembau, Sdr. Khairy Jamalauddin.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah memasak lemang, mendaki Gunung Datuk, jungle trackking, persembahan kebudayaan (cak lempong, dikir rebana), mengacau dodol, memasak buah beluluk, mandi jeram dan lain-lain aktiviti kampung yang menghiburkan. Peserta juga berpeluang menikmati makanan gulai lemak cili api, yang menjadi makanan tradisi masyarakat Negeri Sembilan.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh berhubung dengan En. Abdul Rahman (013-6543 746 atau Suhaimi 017-359 0474)


Gambar ehsan daripada http://profiles.friendster.com/hannah87



KURSUS DI PUSAT KHIDMAT YB DATUK ARIF SHAH, DUN SEBERANG JAYA

Pada 2 dan 3 Jun 2008 yang lepas, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau telah dihantar ke Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah, ADUN Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk mempelajari pengurusan pusat khidmat yang tersusun dan praktikal untuk diaplikasikan di Parlimen Rembau.

Pusat Khidmat YB Arif Shah telah mendapat pengiktirafan ISO 9001 2000 dan merupakan Pusat Khidmat DUN pertama yang menerima pengiktirafan tersebut. Pusat Khidmat ini juga menggunakan sistem e-aduan yang membolehkan setiap aduan yang dikemukakan dibaca oleh YB Datuk, dan beliau boleh memberikan arahan kepada pegawai/kakitangan yang berkaitan walau dimana dia berada.

Kami juga berpeluang untuk mengikuti YB Datuk melawat kawasan pembangunan yang membahayakan rakyat untuk diambil tindakan sewajarnya oleh pihak pemaju dan jabatan-jabatan yang berkaitan.


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin