Saturday, October 15, 2011
Friday, October 14, 2011
BN Youth Music 2011 : Pemuda, Awie Dan Artis Berganding Bahu Cari Bakat Baru
Penyanyi legenda rock tanah air yang juga merupakan pelakon popular, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie bersama beberapa artis terkemuka yang lain menyerahkan borang keahlian sebagai Pemuda UMNO petang tadi.
Perjumpaan KJ bersama Awie sebelum penyerahkan borang keahlian UMNO.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata program tersebut yang berkonsepkan pencarian bakat dalam muzik akan memberi peluang dan ruang kepada seluruh anak muda daripada pelbagai bangsa dan seluruh negara untuk mengambil bahagian.
Menurut beliau pihaknya akan mengambil pendekatan baru iaitu dengan menggunakan kemudahan laman sosial iaitu Youtube untuk memudahkan mereka yang berminat memuat naik bahan yang telah siap untuk diteliti oleh pihak juri.
“Tajuknya bebas dan pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu individu, berkumpulan dan pop dance. Selepas mereka memuat naik menerusi laman web khas yang akan kita wujudkan nanti, mereka juga perlu menghantar satu salinan asal bahan tersebut, manakala Awie dan rakan-rakannya akan meneliti bahan tersebut untuk dipilih ke peringkat seterusnya.
“Selepas itu mana-mana yang layak akan memasuki pusingan seterusnya iaitu kita akan tengok dan nilai secara “live”. Jumlah hadiah belum kita tetapkan dan masih diperingkat perbincangan selain tarikh serta perkara-perkara lain.
“Ini adalah antara galakan kita kepada mereka yang ada bakat tetapi tidak berkesempatan untuk menduduki uji bakat dan sebagainya menerusi pelbagai program mencari bakat lain sebelum ini. Jadi kepada yang berminat bolehlah buat persediaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Awie dan beberapa rakan artis lain seperti Zek Zaidi, Ezzani Yusof serta rakan-rakan artis dan pelakon yang lain. Turut serta Pengerusi Biro Kebudayaan dan Keseniaan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar.
Khairy seterusnya menambah, usaha berkenaan yang digalas menerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda UMNO itu memberi tumpuan kepada anak-anak muda yang berbakat untuk menonjolkan kebolehan yang ada pada mereka.
“Teknologi telah mendemokrasikan muzik menerusi pelbagai peluang kepada anak-anak muda dan program ini adalah salah satu cara ke arah itu,” katanya.
Sumber - BroJinggo & MediaUMNO
Wednesday, October 12, 2011
Lawatan YB Khairy ke Stesen Komuter Sg. Gadut
Khairy Jamaluddin telah meluang masa untuk ke stesyen Komuter Sungai Gadut untuk melihat dan mengetahui sendiri akan cara cara pengendalian dan keselesaan perkhidmatan komuter.
Ini berikutan beliau menerima maklumbalas daripada pengguna melalui laman twitter miliknya, dimana terdapat beberapa kemudahan dan perkhidmatan sokongan yang perlu dipertimbangkan demi keselesaan penumpang.
Sebelum itu Khairy Jamaluddin bersama ahli kelab KJFC menjalankan satu program klinik Fotografi (Rembau Street Outing Bersama Chot Touch)
Sumber dan berita penuh: n9kini.net
Khairy Syor Had Gaji Minimum Bagi Skim Rumah Pertamaku Ditingkatkan
KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan pada Isnin mencadangkan supaya had gaji minimum RM3,000 untuk program Skim Rumah Pertamaku dinaikkan kepada RM6,000 selaras dengan peningkatan had maksimum harga rumah yang kini mencecah sehingga RM400,000.
Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata pindaan terhadap gaji minimum daripada RM3,000 pada masa kini perlu dipertimbangkan bagi memastikan golongan muda membeli rumah mengikut kemampuan mereka.
"Contohnya, kita melihat gaji yang diperoleh oleh golongan profesional seperti peguam mungkin hanya mendapat RM1,800 sahaja sebelum memperoleh (kenaikan) gaji RM3,000 selepas tiga tahun berikutnya. "Berdasarkan kajian yang dibuat oleh saya, komitmen bayaran bulanan bagi pinjaman RM400,000 tidak termasuk insurans ialah RM1,600 hingga RM1,800...ini tidak melayakkan mereka mendapat pinjaman kerana bebanan hutang terlalu tinggi," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan had maksimum harga rumah program Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000 serta perluasan Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ke kawasan luar Lembah Klang.
Sementara itu, keadaan dalam Dewan sedikit kecoh berikutan pertikaman lidah antara Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Belanjawan 2012 yang menurut Anwar "tidak realisitik" dan "terlalu optimistik".
Menempelak dakwaan itu, Khairy berkata unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.0 peratus hingga 6.0 peratus adalah realistik untuk dicapai berdasarkan keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat pelabur antarabangsa untuk melabur di negara ini.
Katanya kepercayaan dan keyakinan pelaburan asing itu bersandarkan kepada program-program tranformasi yang dijayakan oleh Perdana Menteri dalam memastikan agenda pengukuhan ekonomi yang diterajui kerajaan.
Sebaliknya, katanya belanjawan bayangan yang dibentangkan oleh Anwar pada 4 Oktober lepas lebih 'tidak realistik' dan boleh membuat negara menjadi bankrap kerana ia tidak menggambarkan kedudukan ekonomi negara yang sebenar.
Najib ketika membentangkan Belanjawan 2012 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus manakala pakatan pembangkang mengunjurkan pertumbuhan ekonomi naik secara perlahan daripada 4.0 kepada 4.5 peratus, berbanding 5.0 kepada 5.5 peratus pada 2011. Perbandingan Khairy itu membuatkan beberapa anggota Parlimen pembangkang 'panas telinga' dan bangun mencelah menyebabkan keadaan bertukar kecoh.
Meskipun diasak oleh beberapa anggota Parlimen pembangkang termasuk Anwar, Khairy tetap bertegas dengan pendiriannya dan menyifatkan belanjawan pembangkang tidak jujur kepada rakyat.
Terdahulu Anwar ketika membahaskan rang undang-undang sama menyifatkan Belanjawan kerajaan tidak realistik kerana mendakwa ia berasaskan angka-angka unjuran yang tidak tepat dengan penambahan beban hutang rakyat dan negara.
Katanya unjuran pertumbuhan ekonomi terlalu tinggi berbanding analisis dari sumber-sumber ekonomi lain manakala unjuran defisit pada 4.7 peratus adalah tidak tepat.
Persidangan Dewan bersambung pada Selasa. -BERNAMA